Skip to main content

PERBAHASAN AHLI SUNNAH WAL JAMA’AH (ASWAJA) TERHADAP ISU AJARAN AHMADIYAH QADIAN


Terdapat beberapa perbezaan yang diantara Ahli Sunnah wal Jama’ah dan ajaran Ahmadiyah Qadian yang menyimpang jauh dari ajaran Islam sebenar. Perbezaan pertama adalah pengakuan Nabi terakhir dan wahyu dalam kalangan pengikut Ahmadiyah. Menurut Taofik Yumansyah (2006), terdapat 4 sahaja kitab samawi yang wajib diimani di dalam Islam iaitu kitab Taurat, Zabur, Injil dan al-Quran perkara ini berbeza dengan Ahmadiyah yang menambah pegangan kitab terhadap pengakuan Mirza sebagai Nabi yang menerima wahyu. Menurut Chatib Saefullah (2016) mengatakan Ahmadiyah beranalogi bahawa tidak semua yang menerima wahyu dan tanpa Allah menyebutnya dan memilihnya itu menjadi nabi.

Hal ini kerana, wahyu bagi mereka sebagai salah satu cara tuhan berkomunikasi yang bukan khusus kepada nabi sahaja. Mereka juga turut menetapkan makna Khatamu al-Nabiyyin sebagai satu maksud yang selalu berubah-ubah. Seterusnya, antara dasar-dasar yang disepakati oleh Ahli Sunnah wal Jama’ah ialah mengiktikad bahawa para rasul dan nabi itu adalah utusan daripada Allah SWT kepada manusia. Mereka juga adalah orang yang menerima wahyu daripada Allah SWT melalui malaikat serta disokong beberapa mukjizat sebagi pembuktian kenabian atau kerasulannya. Ahli Sunnah wal Jama’ah memperakui bahawa nabi yang pertama itu adalah Adam a.s dan berakhir dengan nabi Muhammad SAW. 

    Perkara ini adalah bertentangan dengan Ahmadiyah yang mengatakan bahawa bakal datang seribu lagi nabi sehingga ke hari kiamat, berdasarkan surah al-Ahzab ayat 40:

    Maksud: Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi ia adalah Rasul Allah dan kesudahan segala Nabi-nabi. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Berdasarkan ayat ini, mereka berbahas bahawa Khatam bukan bermaksud akhir atau penutup sebaliknya adalah memahami bahawa Muhamaad adalah rasullulah yang afdal dan nabi yang terbaik. Jemaah Ahmadiyah memperakui bahawa nabi Muhammad Saw sebagai nabi yang terakhir membawa syariat dan nabi Muhammad SAW bukan nabi yang terakhir. Sedangkan menurut tafsiran Ibn Katsir, ayat ini sememangnya beerti tiada rasul setelah nabi Muhammad SAW, sepertimana mengikut sabda nabi SAW iaitu: “Aku adalah nabi yang terakhir dan kalian adalah umat yang terakhir”.

Ulama Ahli Sunnah wal Jama’ah juga turut beriktikad bahawa nabi Isa a.s tidak mati dan dibunuh, malah beliau telah diangkat ke langit dan akan turun semula kebumi selepas keluarnya Dajjal. Perkara ini semestinya berlawanan dengan hujah yang dikeluarkan Mirza bahawa nabi Isa a.s telah mati sebagaimana manusia yang lain.

Selain itu, perlu juga difahami bahawa nabi mempunyai mukjizat bagi membuktikan kebenarannya. Sementara itu, ASWAJA telah mengharuskan berlakunya karamah kepada para wali dan kejadian-kejadian luar biasa yang diberikan oleh Allah SWT kepada mereka. Pernyataan ini menunjukkan, pengasas Ahmadiyah itu sendiri tidak memahami dengan jelas beberapa perkara yang dihadapi olehnya sehingga menyangka dirinya nabi. Menurut ulama ahli Sunnah juga, imam Mahdi adalah berketurunan Quraisy dan bukanlah berketurunan India seperti Mirza.

Ahmadiyah yang melarang jihad dalam agama merupakan perkara yang bertentangan dalam Islam. Hal ini kerana, jihad melawan musuh yang jelas seperti orang kafir merupakan jihad peringkat keempat. Jihad menentang merupakan perkara yang dituntut terutamanya menentang orang kafir melalui lidah (dakwah) ianya merupakan salah satu cara seorang hamba demi mentaati perintah Allah dengan melawan hawa nafsu.

Ahli Sunnah wal Jama’ah juga turut menetapkan dasar-dasar yang disepakati kesesatannya secara ijmak. Antaranya ialah keterlaluan fanatik terhadap sesuatu perkara dan mengutamakan hawa nafsu sehingga menafikan hakikat-hakikat Islam. Perkara ini merupakan sifat yang terbit dalam diri Mirza Ghulam Ahmad yang keras kepala terhadap pendapatnya yang semberono dan dalil-dalil serta hujah rekaan. Perlu dijelaskan bahawa kesesatan ini terjadi apabila berlakunya keterlaluan iaitu memberikan atau memperakui bahawa sifat-sifat kenabian terhadap seseorang selain daripada nabi.

Comments