Penularan ajaran Ahmadiah ini semakin membimbangkan lebih-lebih lagi kepada negara Malaysia yang berpegang teguh pada aliran Ahli Sunnah Waljamaah. Diketahui idea-idea dan akidah Ahmadiah ini terpesong jauh daripada landasan ajaran Islam yang diajarkan oleh baginda Rasulullah. Kebanyakan isi kandungan ajaran Ahmadiah sama seperti ajaran Islam yang sebenar seperti kandungan dalam rukun Islam iaitu mengucap dua kalimah syahadah, kewajipan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan, membayar zakat dan mengerjakan haji. Mereka juga berpegang pada rukun iman seakan dalam akidah Ahli Sunnah Waljamaah. Penyebaran ajaran Ahmadiah ini telah memberikan kesan kepada pelbagai pihak, sama ada kepada umat Islam mahupun penganut agama lain. Kesan tersebut dalam dilihat seawal penubuhan Ahmadiah oleh Mirza Ghulam Ahmad yang menghadirkan ketidakselesaan masyarakat Muslim India pada ketika itu. Antara kesan yang dapat dilihat adalah seperti berikut:
- . Menimbulkan kontroversi dalam kalangan penganut agama Pengakuan Mirza Ghulam Ahmad sebagai al-Mahdi, nabi, al-Masih dan berkaitan agama Veda menjadikan ajaran Ahmadiah tidak disenangi oleh agama Islam, Kristian dan juga Hindu. Penularan awal Ahmadiah di India memberi reaksi negatif pada masyarakat India sendiri. Pengakuan tentang al-Mahdi, nabi selepas Nabi Muhammad serta Nabi Isa wafat dan tidak diangkat ke langit memberi impak yang tidak baik pada penganut agama Islam. Hal demikian tidak diterima oleh masyarakat Muslim India, lantaran itu difatwakan sebagai sesat dan terkeluar dari Islam oleh Nazir Hussain dan fatwa ini dipersetujui oleh majoriti ulama Islam di India. Malaysia juga telah memfatwakan ajaran ini sebagai sesat dan terkeluar dari agama Islam. Dalam agama Islam yang berlandaskan akidah Ahli Sunnah Waljamaah, berkeyakinan bahawa nabi dan rasul terakhir adalah Nabi Muhammad SAW dan tiada utusan selainnya. Ahli Sunnah Waljamaah juga berkeyakinan Nabi Isa telah diangkat oleh Allah ke langit dan akan turun ke bumi untuk mendamaikan Islam berserta al-Mahdi. Ahmadiah pula berpegang bahawa Mirza Ghulam Ahmad adalah nabi yang terakhir, Nabi Isa telah wafat yang sesungguhnya seperti manusia secara adatnya serta maqam Nabi Isa berada di Srinagar Kashmir, India. Perbezaan yang ketara berkaitan perkara tersebut membuatkan ajaran Ahmadiah dilabel sesat dan murtad dari Islam kerana sudah melampaui batas seperti yang diajarkan oleh Rasulullah. Perdebatan antara Mirza Ghulam Ahmad dan ahli Kristian berkaitan Jesus atau Nabi Isa merumitkan lagi keadaan. Hal tersebut disebabkan Mirza Ghulam Ahmad mengaku sebagai jelmaan Nabi Isa dan Nabi Isa yang sebenar sudah wafat tidak akan hidup semula atau menjadi Tuhan penganut Kristian. Dalam sebuah perdebatan antara Ghulam Ahmad dan Kristian, wakil Kristian membawa tiga orang yang mempunyai sakit yang buta, lembam dan bodoh kemudian menyuruh Ghulam Ahmad menyembuhkan mereka jika dia benar-benar al-Masih. Ghulam Ahmad menjawab perkara tersebut merupakan kepercayaan Kristian sahaja dan bukan kepercayaannya dan menyuruh Kristian tersebut menyembuhkannya.
- . Berlaku kekeliruan dalam kalangan umat Islam Mirza Ghulam Ahmad memperkenal dirinya sebagai Muslim dan mendakwa ajaran yang dibawanya adalah penerusan dalam agama Islam. Awalnya kehadiran Mirza Ghulam Ahmad adalah untuk mempertahankan Umat Islam diantara abad ke-19 dan abad ke-20 di India khususnya. Mirza dilihat sebagai sosok pejuang agama yang menentang keras penindasan agama lain terhadap agama Islam. Ajaran Ahmadiah mengajarkan ilmu berkaitan agama sama seperti ajaran akidah Ahli Sunnah Waljamaah. Walaupun antara dua ajaran ini berbeza tetapi kekeliruan masih timbul disebabkan golongan Ahmadiah masih menganggap dan memperkenalkan diri mereka sebagai Muslim walaupun mereka telah terkeluar dari Islam mengikut fatwa-fatwa negeri dan juga fatwa antarabangsa. Mereka bertegas dengan mengatakan mereka menunaikan Haji di Mekah, membaca al-Quran sama seperti al-Quran yang dibaca oleh Muslim yang lain dan juga solat lima waktu dalam sehari sama seperti solatnya golongan Ahli Sunnah Waljamaah.
- Terlupus hak dan juga keistimewaan terhadap penganut ajaran Ahmadiah Ajaran Ahmadiah memberikan implikasi yang membebankan penganutnya atas dasar mereka telah terkeluar dari agama Islam, khususnya kepada warga dan masyarakat Islam. Disebabkan hal demikian, mereka tidak lagi terikat dengan undang-undang syariah dan tidak boleh didakwa atas kesalahan keagamaan mereka. Mereka dianggap seperti penganut agama-agama lain seperti Kristian, Hindu dan sebagainya. Setiap hak mereka sebagai Muslim tercabut kerana mereka dikategorikan sebagai murtad. Berdasarkan pindaan fatwa tentang ajaran Ahmadiah/Qadiani (2000), beberapa perkara telah diperincikan:
- Perkahwinan penganut Ahmadiah boleh dibubarkan dengan pengesahan Mahkamah Syariah mengikut seksyen 46, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 1984.
- Penganut Ahmadiah tidak boleh menjadi wali kepada anak perempuannya
- Penganut Ahmadiah tidak boleh mewarisi harta kerabat Muslimnya.
- Penganut Ahmadiah tidak berhak mendapat apa-apa keistimewaan yang diperuntukkan kepada orang Melayu di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri. Jika perkara tersebut sudah dinikmati dan diperolehi, hendaklah terhenti dan boleh dilucutkan, ditarik balik dan dibatalkan.
Implikasi ini tidak hanya terkesan kepada penganut Ahmadiah sahaja, bahkan memberi kesan
kepada keluarga dan juga masyarakat sekelilingnya. Merujuk Perlembagaan Persekutuan (2010),
orang Melayu ditakrifkan dalam Perkara 160(2) sebagai seorang yang menganuti agama Islam,
lazimnya bercakap bahasa Melayu, menurut adat istiadat Melayu dan:
a. Lahir, sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau di Singapura, atau ibu atau bapanya
telah lahir di Persekutuan atau di Singapura atau pada hari Merdeka itu, ia berdomisil di
Persekutuan atau di Singapura atau
b. Ia adalah keturunan seseorang yang tersebut
Terdapat beberapa hak yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan, ia adalah:
- Hak untuk mendapatkan jawatan dalam kerajaan (Perkara 153)
- Hak dalam menerima peruntukan biasiswa (Perkara 153)
- Hak untuk mendapatkan bantuan ekonomi (Perkara 153)
- Hak tanah untuk orang melayu (Perkara 89 dan Perkara 90)
Comments
Post a Comment