Skip to main content

Aliran Ahmad Qadiani Menurut Ahli Sunnah wal Jamaah

 

KONSEP DAN SEJARAH ALIRAN AHMAD QADIANI

    Menurut Azharudin (2010), aliran Ahmadiah atau Qadiani merupakan satu aliran yang telah terbit dan wujud di Qadian, India sekitar penghujung abad ke 19 dan awal abad ke 20. Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan (2003), telah mengeluarkan fatwa bahawa ajaran Qadiani merupakan ajaran sesat dan haram bagi orang Islam melibatkan diri dengan ajaran tersebut. Hal ini kerana, aliran ini telah menunjukkan ciri-ciri yang menyebabkan terkeluar dari Islam seperti yang ditetapkan oleh ulama Ahli Sunnah wal Jama’ah dan bagi mengukuhkan informasi tentang perkara ini, penulis akan menjelaskan sejarahan aliran ini. Pada tanggal 15 Februari 1835 masihi telah lahirnya pengasas aliran Qadiani iaitu Mirza Ghulam Ahmad berketurunan keluarga bangsawan iaitu, Haji Barlas. Ketika empayar Moghal berkuasa, keluarga Haji Barlas menduduki jawatan yang disegani dan dihormati dalam kalangan kerajaan pada masa itu. 

   Ghulam Murtaza dan Charagh Bibi merupakan bapa dan ibu kepada pengasas aliran tersebut, mereka telah dikurniakan kepada enam orang cahaya mata akan tetapi kebanyakkan dari mereka telah meninggal ketika usia bayi. Dengan kejadian itu, ibunya Mirza telah berdoa agar anaknya panjang umur. Doanya itu telah dikabulkan dengan kelahiran Mirza (Kunto Sofianto, 2016). Seawal usia 6 ke 7 tahun, Mirza Ghulam Ahmad telah menerima pendidikan awal daripada gurunya yang bernama Fazal Ahmad. Pada usia itu, beliau telah mempelajari al-Quran dan membaca beberapa buku klasik Parsi. Sepanjang usia kanak-kanak sehingga remaja, Mirza hanya mengisi masanya dengan menimba ilmu dan disifatkan pendidikannya sebagai pendidikan tidak formal. Antara ilmu yang dipelajari oleh Mirza adalah ilmu bahasa Arab, ilmu logik, ilmu perubatan dan sebagainya. Beliau juga berkebolehan untuk bertutur dalam bahasa Arab dan Parsi serta mempelajari dan berkebolehan untuk menelaah buku-buku ilmuwan klasik dan kitab penganut agama lain. 

   Melalui perkara ini dapat dijelaskan bahawa pengasas aliran ini mahir dalam pelbagai bidang ilmu yang melayakkan dirinya menpunyai ramai pengikut dan berpengaruh. Kemudiannya, sekitar tahun 1864 sehingga tahun 1868 Mirza Ghulam Ahmad telah bekerja sebagai pengawai rendah di pejabat daerah di Sialkot, Punjab. Setelah hampir 4 tahun, Mirza telah kembali ke Qadian kerana ibunya yang sakit dan sebelum kematian ayahnya Mirza dikatakan telah menerima wahyu dan kuasa luar biasa. Ketika tahun 1876, Mirza Ghulam Ahmad telah menerbitkan satu buku yang bertajuk Barahiyn Ahmadiyya yang menerangkan tentang kebenaran Islam yang tidak dapat disangkal faktanya oleh musuh-musuh Islam.

   Rentetan daripada itu, masyarakat muslim Ahmadiyya tertarik terhadap penulisan Mirza Ghulam Ahmad yang semakin tersebar dan mereka juga mahu berikrar taat setia terhadap Mirza. Pada Disember 1888, Mirza dikatakan telah menerima dua bentuk wahyu iaitu menerima taat setia ikrar dari pengikutnya dan melakukan bahtera yang dapat menyokong dan menguatkan misinya tentang Imam Mahdi untuk menyeru Islam seluruh dunia. Setelah itu, tahun 1891 Mirza telah mengistiharkan dirinya sebagai al-Masih yang disembah oleh penganut kristian dan seterusnya perakuannya sebagai nabi terakhir pada tahun 1901. 

   Selain itu beliau juga mengeluarkan pelbagai kenyataan palsu mengenai dirinya seperti jelmaan Nabi Isa a.s, Krishna kepada penganut Hindu, imam al-Mahdi dan akhir sekali mengistiharkan dirinya sebagai nabi selepas nabi Muhammad SAW. Pada bulan Disember tahun 1891 merupakan tarikh keramat gerakan Ahmadiyah kerana telah melancarkan pertemuan pertama diantara pengikut Qadiani. Di akhir kehidupannya, Mirza telah jatuh sakit kerana penyakit cirit-birit dan taun di Lahore, kemudiannya beliau telah disahkan meninggal dunia pada 25 Mei 1908. Perkuburan Mirza terletak di Qadian iaitu kini dikenali sebagai negara Pakistan (Mustaffa Suhaimi, 2004). 

   Perjuangan gerakan ini telah disambung oleh Maulana Hakim Nuruddin Bhairawi pada tahun 1908 sehingga 1914 dan diteruskan lagi oleh anak Mirza Ghulam Ahmad iaitu Mirza Bashiruddin Mahmud Ahmad sekitar tahun 1914 sehingga 1965. Sekitar pada tahun ini, telah berlakuya perpecahan yang terbahagi kepada 2 kumpulan iaitu Lahore yang diketuai oleh Maulana Muhammad Ali dan Qadian pula diketuai oleh Maulana Bashruddin. Berlakunya perpecahan ini disebabkan perbahasan mereka tentang Mirza Ghulam Ahmad sebagai nabi atau sebagai mujahid. 

   Dalam mendalami kemunculan Qadiani, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kebangkitan aliran gerakan keagamaan ini semakin utuh. Selain daripada faktor sifat pengasas itu sendiri, terdapat juga ancaman luar iaitu dari pihak penjajah dan orientalis yang melakukan penyebaran dakwah agama Kristian di India. Selain itu, perkembangan agama Hindu yang dipergiatkan oleh Brahmo Samaj dan Arya Samaj juga menjadi ancaman kepada agama Islam di India. Menurut Arfan Bayu (2011), kelahiran aliran Ahmadiyah ini menerima sokongan daripada British di India kerana British percaya kelahiran aliran sesat ini mampu melemahkan dan menghancurkan semangat jihad masyarakat Islam di India. Selain itu, kemajuan umat Islam dalam segala bidang dan proses Kristianiti yang dijalankan mubaligh Kristian terhadap masyarakat Islam merupakan faktor terbesar kebangkitan aliran Ahmadiyah Qadiani. 

  Perkara ini terus berlaku disebabkan munculnya Mirza Ahmad dan pengikutnya yang dianggap sebagai pejuang agama Islam dan beliau telah melaksanakan dakwah yang menentang Kristian serta Hindu menjadikan Mirza memperoleh pengikut masyarakat Islam dengan mudah. Keadaan dan ketaksuban ini kian parah selepas Mirza Ahmad membuat pengakuan secara terbuka bahawa dirinya nabi dan Imam Mahdi, Nurrudin Bhairawi merupakan tokoh penting disebalik pengakuannya ini. Bahkan, hasil aliran ini juga turut mewujudkan kubur khas bagi pengikut Ahmadiyah yang dikenali sebagai Bahesti Maqrabah atau perkuburan syurgawi. Selain itu, isu perhubungan antara pengikut Qadian dan kalangan yang bukan Qadian menjadi salah satu peraturan khas gerakan Qadiani.

Bagi memudahkan kefahaman pembaca : SEJARAH AJARAN SESAT QADIANI/AHMADIYYAH

PRINSIP AKIDAH BAGI AJARAN AHMADIAH QADIANI

    Menurut ulama-ulama Ahli Sunnah wal Jama’ah terdapat pelbagai kesesatan yang dibawa oleh Mirza Ghulam Ahmad pengasas aliran Ahmad Qadiani. Antara prinsip akidahnya ialah perlu diyakini bahawa Ghulam Ahmad sebagai nabi dan rasul yang terbaik. Terdapat ungkapan yang dibawa oleh khalifah Mahmud pengganti kepada Mirza Ghulam Ahmad iaitu:

 “Siapa yang menyakini Isa tetapi tidak menyakini Muhammad, maka dia adalah kafir. Begitu juga sesiapa yang tidak menyakini Ghulam Ahmad dia juga adalah kafir” 

Melalui perkara ini, ia dipercayai sebagai wahyu yang diperolehi oleh Mirza Ghulam Ahmad daripada Tuhan yang menjadikan ia sebagai rasul. 

Golongan pengikut Ahmadiah mempercayai bahawa terdapat lima kitab suci didalam agama Islam iaitu Taurat, Zabur, Injil, al-Quran dan Tazkirah iaitu kitab wahyu yang berisikan mimpi-mimpi Mirza Ghulam Ahmad. Konsep wahyu menurut Ahmadiyah adalah ianya bersifat umum seperti ilham, kasyaf dan mubasyarah. Mereka turut menyatakan terdapat tiga pola komunikasi diantara hamba dengan tuhan, iaitu:

  1. Hati para nabi dan orang-orang yang tulus
  2. Mubasyarah, kasyaf dan ilham
  3. Utusan malaikat Jibril
Selain kitab Tazkirah, al-Kitab al-Mubin dan az-Zikr juga merupakan kitab Ahmadiyah yang merupakan campuran ayat suci al-Quran dan petikan kata-kata Ghulam Ahmad dalam bahasa Arab dan bahasa Urdu. Mirza Ghulam Ahmad telah mengatakan bahawa kitab-kitab ini merupakan wahyu yang diturunkan kepadanya, datangnya dari Allah sebagaimana al-Quran yang merupakan wahyu kalam Allah. Melalui pernyataan tersebut, Ahmadiyah amat menyakini bahawa Mirza adalah sama seperti nabi Muhammad yang menerima wahyu.

    Ahmadiyah juga mempercayai dan mengajar pengikutnya bahawa ka’abah yang mulia dan Masjid al-Haram adalah terletak di Qadian. Mereka juga turut menyatakan bahawa Desa Qadian sebagai Makkah Mukarammah yang merupakan kiblat dan kaabah. Selain itu, mereka yang turun ke Qadian dianggap telah menjalani ibadah haji. Pengikut Ahmadiyah telah membina Rabwah iaitu pusat dakwah yang merupakan tempat suci dan mulia di kota kecil Pakistan Barat. Di Rabwah, Ahmadiyah mengatakan Ghulam Ahmad telah menerima wahyu di kota tersebut iaitu kitab suci Ahmadiyah ialah kitab al-Mubin. Menurut mereka, Mirza telah menerima wahyu dan ilham seperti yang terkandung dalam kitab-kitab mereka seperti Barahin Ahmadiya, Izalat al-Aubam, Haqiqat al-Wahy, Safinat Nuh, Tabligh Risalah dan Khittah Ilhamiat.

    Seterusnya, pengikut Ahmadiyah juga telah menggugurkan istilah jihad terhadap agama, tiada lagi jihad yang menggunakan senjata atau jihad terhadap orang kafir. Mirza mengatakan bahawa “Angkat lah bendera kedamaian dan kebajikan, tinggalkan lah unsur-unsur jihad kerana berperang imam al-Mahdi telah datang. Berperang dalam agama adalah diharamkan, barangsiapa yang berjihad maka ia adalah musuh-musuh Allah”

Ahmadiyah juga turut mengkafirkan kaum muslimin yang tidak memperakui Mirza Ghulam Ahmad sebagai nabi. Oleh itu, khalifah-khalifah Ahmadiyah telah berpandangan dan berpendapat terhadap kaum muslimin. Antaranya ialah:
  1. Orang muslimin akan kekal dalam neraka dan kafir kerana tidak mengakui kenabian Ghulam Ahmad. Berdasarkan hujah ayat al-Quran surah an-Nisa’ ayat 150: Maksud: Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada Allah dan Rasul-rasulNya, dan (orang-orang yang) hendak membeza-bezakan iman mereka di antara Allah dan RasulrasulNya, dan (orang-orang yang) berkata: "Kami beriman kepada setengah Rasul-rasul itu dan kufur ingkar kepada setengahnya yang lain", serta bertujuan hendak mengambil jalan lain antara iman dan kufur itu.
  2. Khalifah Ahmadiyah juga turut mengatakan bahawa pengikut Ahmadiyah tidak sah solat dan menjadi makmum dibelakang orang muslim. Pengikutnya juga tidak dibernarkan mengikut solat dibelakang orang munafik. Ghulam Ahmad juga turut mengharamkan solat di belakang imam yang tidak tahu pegangan akidahnya dan tidak menperakui Ghulam Ahmad sebagai nabi.
  3. Pengikut Ahmadiyah juga dilarang bergaul dengan orang muslimin semasa perayaan. Mereka diminta untuk memutuskan hubungan persaudaraan. Orang muslimin disifatkan sebagai najis dan Qadiyun sebagai golongan suci. Oleh itu, orang yang bersih dan suci seperti Qadiyun tidak boleh berhubungan dengan orang muslimin yang najis dan kafir.
  4. Golongan Ahmadiyah juga tidak dibenarkan solat jenazah keatas kaum muslimin. Menurut khalifah Ahmadiyah yang kedua turut menyatakan bahawa jenazah kanak-kanak kaum muslimin juga tidak boleh disolatkan. Mereka juga dilarang untuk meminta ampun dan istighfar bagi kaum muslimin.
  bersambung..

Comments